Exco Pemuda UMNO, Anuar Abdul Manap berharap, UMNO dapat menyatakan manifesto-manifesto yang boleh diberikan kepada rakyat kerana PAU kali ini merupakan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"UMNO kena lihat situasi seperti jumlah pengundi baharu dan di atas pagar kerana mereka ini sentiasa menantikan apa yang akan dijanjikan oleh UMNO ketika persidangan kali ini.

ANUAR ABDUL MANAP
ANUAR ABDUL MANAP

"Kita tidak boleh sekadar bagi harapan, sebaliknya kena laksanakan seperti apa yang telah dijanjikan kerana saya yakin rakyat mahu melihat perancangan atas kertas itu diterjemahkan ke dunia realiti," katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Menurutnya, keperluan serta kehendak orang muda hari ini berbeza dengan era sebelum ini dan situasi itu tentunya memerlukan pendekatan berbeza bagi memastikan perjuangan UMNO terus di hati mereka.

Katanya, apa yang lebih penting adalah menterjemahkan segala yang dirancang dan barisan Pemuda perlu turut bekerja keras bersama-sama sayap lain dalam menghadapi PRU-14.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, UMNO dan BN juga terbukti mampu membangunkan negara dengan baik selama ini, namun rakyat juga ingin melihat kemampuan UMNO untuk 30 tahun akan datang seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, isu-isu yang dibawakan barisan perwakilan Pemuda pada kali merupakan perkara yang dekat dengan anak muda melibatkan agenda sosial seperti isu perumahan, pendidikan kos, sara hidup dan isu dana bumiputera.

"Isu-isu yang dibawa oleh Pemuda sebelum ini juga telah diambil perhatian oleh kerajaan dan saya berharap apa yang dilakukan ini mampu mengukuhkan sokongan terhadap kerajaan sedia ada," katanya. - UTUSAN ONLINE