Beliau berkata, PKR kini memberi tumpuan kepada agenda pembaharuan yang diperjuangkan oleh parti itu sejak 20 tahun lalu.

“Saya telah menyatakan kepada mereka dengan jelas bahawa mereka boleh kekal dalam parti mereka atau menjadi ahli politik bebas tetapi sukar bagi kita untuk menerima mereka.

“Saya difahamkan ia kerana kehendak masyarakat secara umum adalah untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam agenda pembaharuan kami,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Dialog Buku Tian Chua - Lakaran Jiwa Merdeka: Catatan Dari Penjara Kajang di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Semalam, hampir keseluru­han barisan kepemimpinan UMNO Sabah termasuk pengerusinya, Datuk seri Hajiji Mohd. Noor mengumumkan keluar parti.

Secara menyeluruh, mereka yang meninggalkan UMNO terdiri daripada enam Ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat, dua senator dan 21 ketua bahagian negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengakui ada bertemu dan mengadakan perbincangan terbuka bersama Ahli Parlimen Padang Rengas. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini, dengan intipatinya berkenaan agenda reformasi PKR serta Pakatan Harapan (PH).

“Perbincangan itu secara terbuka. Bagaimanapun, saya jawab secara konsisten bahawa kita sedia bincang tapi bincang kita bukan soal sertai parti tapi bincang tentang perlu semua sokong agenda reformasi,” tambahnya.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan portal berita tempatan yang mendakwa Mohamed Nazri, yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), telah bertemu Anwar semasa minggu ke­dua sidang Parlimen yang lalu.

Menurut laporan berita itu, Mohamed Nazri meminta empat perkara kepada Anwar apabila beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri, antaranya adalah agar UMNO tidak dibubarkan dan tidak menganiaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar berkata beliau menyokong keputusan kerajaan untuk mendakwa Najib demi kepentingan negara.

“Aib maksud untuk menghina seseorang, rekayasa satu kes, tapi kenyataannya ada asas untuk pihak penyiasat dan Peguam Negara melaporkan pendakwaan kerana negara terbeban dengan kehilangan dana besar, saya sokong keputusan kerajaan untuk mendakwa (Najib),” katanya. – BERNAMA