Calon tersebut ialah penyandang kerusi Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd. Hamid yang akan berpindah ke kerusi DUN Bukit Chandan manakala penyandang kerusi Parlimen Kapar, G. Manivanan pula bertanding di kerusi DUN Hutan Melintang.

Bagi kerusi Parlimen Tanjung Malim pula menyaksikan penyandang kerusi DUN Teja, Chang Lih Kang akan bertanding di kerusi Parlimen tersebut selain penyandang kerusi DUN Hutan Melintang pula bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PKR Perak, Dr. Muhamad Nur Manuty di Pejabat Pimpinan Keadilan negeri di sini hari ini.

Muhamad Nur Manuty berkata, pada pilihan raya kali ini, PKR Perak akan bertanding di 19 kerusi iaitu lima kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN.

Katanya, seramai 10 calon muka baharu dipertaruhkan dengan lapan orang adalah calon muda selain menampilkan lima calon wanita.

“Kesemua calon ini terdiri daripada semua profesion dan mewakili kesemua komposisi kaum dimana selain calon Melayu, kita turut menampilkan lima calon dari kaum Cina dan tiga dari kaum India,” katanya.- UTUSAN ONLINE