IRMOHIZAM IBRAHIM
IRMOHIZAM IBRAHIM

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan kerajaan negeri yang disifatkan sambil lewa dalam memelihara alam sekitar amat mengecewakan apatah lagi Kampung Kuantan adalah kawasan pelancongan yang terkenal de­ngan kehadiran kelip-kelip.

Katanya, pendapatan penduduk kawasan berkenaan yang kebanyakannya menawarkan perkhidmatan mendayung sampan juga mengalami penurunan signifikan sejak aktiviti mengorek pasir mula berleluasa pada penghujung tahun lalu dise­babkan pengurangan kelip-kelip.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini kerajaan negeri tidak mengadakan pemantauan sewajarnya bagi mengatasi perkara berkenaan.

“Saya juga pernah mencadangkan kepada kerajaan nege­ri supaya memohon Kampung Kuantan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam sidang Parlimen dua tahun lalu, namun sehingga kini masih tiada maklum balas.

“Saya amat khuatir sekiranya aktiviti ber­ke­naan tetap diteruskan pada masa akan datang. Kelip-kelip akan pupus sehingga meng­akibatkan sumber pendapatan penduduk Kampung Kuantan terjejas teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai aktiviti mengorek pasir di Su­ngai Sela­ngor yang terletak kira-kira tiga kilo­meter dari Kampung Kuantan yang dikhuatiri bakal mengancam habitat kegemaran kelip-kelip.

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, aktiviti mengorek pasir yang memusnahkan pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip juga mengakibatkan kerosakan keindahan kawasan sekitar terutamanya Sungai Sela­ngor.

“Aktiviti ini juga sebenarnya sedikit sebanyak menakutkan penduduk sekitar lebih-lebih lagi apabila berbicara soal keselamatan kerana lori yang masuk boleh menyebabkan kerosakan kepada jalan-jalan dan mengancam kese­lamatan penduduk.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan menghentikan aktiviti tersebut supaya ikon pelancongan ini dapat dipelihara di samping memastikan pendapatan penduduk tidak terjejas,” ujar beliau.