Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN , beliau meletakkan sasaran meraih undi besar untuk Anwar dan yakin pengundi bijak membuat keputusan terbaik bagi Parlimen tersebut.

UTUSAN: Bagaimanakah sasaran dan corak kempen dalam beberapa hari akan datang menjelang pengundian pada Sabtu ini?

AMINUDDIN: Dari sehari ke sehari kita sudah kenal pasti bagaimana kempen paling sesuai. Pada masa ini fokus kita mendekati pengundi dan mereka mulai faham tujuan diadakan PRK ini. Sasaran kita adalah untuk mendapatkan 35,000 daripada 75,000 pengundi memilih Anwar. Ini yang kita akan dapatkan dan kita yakin ada pertambahan pengundi lagi dalam masa beberapa hari.

Sebanyak 30 peratus daripada 75,000 pengundi bekerja di luar Port Dickson. Adakah mereka ini dijangka pulang mengundi?

Memang ada kebimbangan tentang perkara itu kerana mereka sudah pulang untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pengundi Cina pula balik semasa pesta kuih bulan baru-baru ini.

Salah satu usaha kita adalah meminta keluarga dan ibu bapa mereka menghubungi anak-anak yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi. Kita harap mereka akan berbuat demikian bagi memilih pemimpin terbaik untuk Port Dickson.

Calon Bebas, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dilihat pesaing utama Anwar dan beliau memainkan sentimen sebagai anak tempatan. Komen?

Memang kita nampak beliau adalah calon yang agak menonjol. Tetapi kita kena ingat kali ini beliau bertanding sebagai calon Bebas. Bukan mudah seorang calon Bebas untuk menang. Ini berlaku dalam PRU-14, siapa bertanding atas Bebas, susah dan tidak ke mana.

Saya rasa sentimen beliau orang Port Dickson sukar digunakan kerana masyarakat lebih bijak dan mereka nak lihat siapa boleh bawa perubahan di kawasan mereka.

Walaupun tujuh calon bertanding tetapi sambutan penduduk Port Dickson terhadap kempen dan ceramah PRK Port Dickson agak kurang meriah?

Memang sambutan agak perlahan, tetapi sebenarnya adalah lebih baik daripada PRK di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Cera­mah dapat sambutan walaupun tak seperti semasa PRU-14. Apabila jumpa pengundi atas pagar, mereka kata akan mengundi. Ini petanda mereka berminat dan beri momentum untuk pastikan pengundi keluar pada 13 Oktober ini.

Adakah faktor pengundi kaum Cina dan India akan memberi kelebihan besar kepada Anwar untuk menang selesa?

Kita hargai pengundi dari kedua-dua kaum dan saya yakin undi masyarakat India khususnya akan bertambah kepada PKR. Pengundi Cina juga akan terus beri sokongan dan saya tak nampak masalah antara pengundi.

Walaupun undi Melayu dijangka berpecah kerana ramai calon, saya yakin ia akan bertambah kepada PKR. Tetapi kita mengundi bukan atas perkauman, sebaliknya mahu melihat kemajuan di Port Dickson.