Hanya Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azam Ismail dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari muncul menyahut cabaran dalam program tersebut yang merupakan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertahan.

Difahamkan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Kelantan, Mohd. Hafidz Rizal Amran dan Ketua Armada PPBM Kelantan, Asran Alias menarik diri saat-saat akhir dengan alasan memprotes tindakan penganjur tidak menjemput dua lagi wakil parti pembangkang iaitu PAN dan DAP.

Mohd. Hafidz Rizal dan Asran dalam satu kenyataan bersama mendakwa pihak penganjur tidak profesional kerana menafikan kehadiran wakil PAN dan DAP sekali gus menjadikan program itu sekadar membuang masa dan langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara itu, Mohd. Azam berkata, beliau bersetuju menyahut cabaran kerana berpendapat program seumpama itu merupakan ruang yang boleh dimanfaatkan untuk beliau mengemukakan pandangan dan berkongsi wadah perjuangan UMNO dengan rakyat Kelantan.

“Tindakan wakil PKR serta PPBM menarik diri saat-saat akhir adalah tidak wajar namun saya hormati keputusan mereka. Sejujurnya saya kecewa namun saya perlu berlapang dada dan bersedia memenuhi undangan seumpama ini pada masa depan,” katanya. - UTUSAN ONLINE