Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mana-mana pihak yang mengadakan rundingan dengan negara asing merupakan satu perkara biasa dan tindakan sedemikian tidak semestinya perlu dikaitkan dengan soal sama ada mencampuri kedudukan sesebuah negara.

Sebaliknya beliau berkata, mana-mana negara juga boleh mengeluarkan kenyataan tentang sesuatu perkara yang berlaku apatah lagi jika ia melibatkan soal kemanusiaan.

“Sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia sendiri memainkan peranan di peringkat antarabangsa dan mengeluarkan kenyataaan dalam isu tertentu seperti isu Palestin dan selatan Thailand.

“Ini merupakan perkara biasa atas prinsip yang cukup jelas supaya tidak ada kezaliman berlaku di mana-mana negara,” katanya yang turut mempertahankan usa­ha PKR serta DAP yang meminta campur tangan Amerika Syarikat untuk membebaskan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini menjalani hukuman penjara lima tahun atas ke­salahan meliwat.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan dan sambutan Hari Bumi 2017 di sini hari ini.

Minggu lalu, Abdul Hadi dalam satu majlis ceramah di Marang, Terengganu membidas tindakan DAP yang menentang keras rundingan antara Pas dan UMNO dalam soal membabitkan syariat Islam yang difahamkan berkait rapat dengan isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tindakan Pas dan UMNO mengadakan perundingan ber­kenaan bukanlah satu kesalahan kerana ia melibatkan sesama parti politik orang Melayu dan Islam.

Sebaliknya, Abdul Hadi mempertikaikan tindakan DAP yang didakwa mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat untuk campur tangan mencaturkan negara ini.

Pada 6 April lalu, portal berita propembangkang, Malaysiakini.com menyiarkan laporan me­ngenai tindakan kumpulan yang dikenali sebagai Otai Reformasi mengemukakan memorandum mendesak Amerika Syarikat (AS) supaya terus memberi tekanan kepada kerajaan agar Anwar dibebaskan daripada penjara serta membantu Penasihat PKR itu mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

Dalam laporan tersebut, seorang anggota kumpulan terbabit, Ronnie Liu dikatakan telah mengadakan perjumpaan dengan Kaunselor Politik AS, Tressa Fi­nerty di kedutaan negara itu selain mahu negara kuasa besar dunia itu terus menganggap Anwar sebagai seorang tahanan politik.