Beliau berkata, masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama iaitu selepas Pemilihan Keadilan 2018 yang lalu namun tiada sebarang tindakan segera diambil oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Perkara ini masih belum selesai walaupun setelah majlis pimpinan PKR negeri bertemu sendiri secara rasmi dengan Menteri Besar.

“Malahan kita juga telah memberikan senarai nama yang dicadangkan tetapi ‘kurang jelas’ sebab dilengahkan (masih belum diluluskan) dan ini melemahkan PKR di Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Farhash Wafa Salvador turut menggambarkan kepemimpinan Ahmad Faizal seolah-olah lemah apabila mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu hanya gah dengan kata-kata tetapi tidak pernah mengambil tindakan susulan.

Menurut beliau, penetapan lantikan Penyelaras DUN perlu disegerakan kerana jika tidak dilakukan, ia akan menyukarkan gerak kerja di peringkat bawahan sekali gus dilihat sebagai tidak menghormati akar umbi.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak hairan sekiranya Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tambun, Jaafar Uthman sendiri memaki Ahmad Faizal selaku Ketua Bahagian baru-baru ini kerana memang sukar untuk berurusan dengannya.

“Kerjasama antara parti komponen adalah penting kerana dengan cara itu sajalah negeri Perak dapat memajukan ekonomi setempat. Teguran harus diterima secara terbuka kerana itulah yang membezakan antara kerajaan Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional.

“Walaupun kita memerintah dalam satu perkongsian kuasa yang sama, namun saya nampak beliau masih belum menunjukkan sifat seorang pemimpin yang boleh mengetuai,” katanya. - UTUSAN ONLINE