Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, beliau telah membincangkan perkara itu bersama Menteri Besar sebanyak dua kali.

“Mungkin Menteri Besar juga sudah lupa kita pernah bertemu sebanyak dua kali untuk berbincang sebelum ini yang mana timbalan saya bersama Setiausaha Politiknya turut hadir.

“Malah beliau sendiri juga telah mencadangkan seseorang. Namun tanggungjawab saya sebagai pengerusi haruslah lebih adil dan mengutamakan pendapat peringkat akar umbi dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal hari ini yang mengulas cadangan PKR Perak supaya seorang Exco kerajaan ditukar berkata, pertukaran tidak perlu kerana semua Exco bekerja dengan baik.

Farhash Wafa Salvador berkata, PKR berterima kasih kepada Ahmad Faizal kerana kerana memperingatkan semua pihak supaya menggunakan saluran yang betul untuk sebarang rombakan ahli Exco.

Menurutnya, PKR menghormati struktur kerajaan negeri dan menyarankan supaya Menteri Besar juga melakukan sedemikian kepada PKR.

“Sebarang keputusan yang telah dibuat adalah sentiasa berlandaskan perlembagaan parti.

“Nilai prinsip yang saya perjuangkan bukanlah sekadar seorang pemimpin di peringkat negeri, namun untuk semangat reformasi yang diperjuangkan untuk negara kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE