Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, berita yang dikeluarkan portal The Malaysian Insight bahawa keputusan itu dibuat malam semalam ketika mesyuarat Biro Politik PKR berlangsung adalah tidak tepat.

“Maaf tapi berita @msianinsight mengenai mesyuarat Biro Politik tidak tepat. Perbinca­ngan masih berjalan. Pengumuman rasmi (akan dibuat) dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakat­an Harapan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Menerusi laporan The Malaysian Insight bertajuk ‘PKR akhir­nya setuju Dr. Mahathir ketuai PH’, sumber memberitahu portal itu bahawa keputusan tersebut dicapai semasa mesyuarat Biro Politik PKR semalam.

Laporan tersebut menyatakan sumber Biro Politik PKR memberitahu, mereka bersetuju bekas Perdana Menteri itu mengetuai gabungan pembangkang itu agar lebih kukuh untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sumber sama mendedahkan bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi Timbalan Presiden Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Guan Eng telah memaklumkan DAP menolak sama sekali hasrat PPBM mahu mendominasi jawatan Pengerusi dan Presiden Pakatan Harapan.