JOHARI ABDUL

Apa tidaknya, daripada kira-kira 600 ahli sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), cabang itu menerima pertambahan jumlah ahli menggalakkan apabila melonjak sehingga kira-kira 2,000 peratus kepada lebih 13,000 ahli pada 27 Jun 2018.

Sejak memenangi PRU-14, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang dikatakan condong ke arah kem Rafizi Ramli dilaporkan telah memulakan gerak kerja menarik minat penduduk tempatan menganggotai PKR.

Atas dasar itulah, tidak salah sekiranya Larry dikategorikan sebagai kingmaker untuk me­nentukan sama ada jawatan Timbalan Presiden PKR itu menjadi milik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Rafizi bagi bergandingan bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun mengakui kemenangan di Julau mungkin memberi sedikit kelebihan, Naib Pre­siden PKR, Datuk Johari Abdul yang berada dalam kem Rafizi tetap tidak mahu mendabik dada, sebaliknya mahu memberi tumpuan untuk ‘bertempur’ di kawasan lain termasuk pemilihan semula di Melaka, tiga cabang di Sabah dan satu di Selangor.

Katanya, peluang yang dimiliki Rafizi tetap cerah walaupun ketinggalan kira-kira 3,000 undi dengan syarat pemilihan parti itu berlangsung dengan baik tanpa ada unsur penipuan.

“Isu di Julau itu sebenarnya kecil kerana dulu ahlinya tidak ramai tetapi selepas Larry be­kerja keras menarik ahli baharu, perkara itu digembar-gemburkan menjadi besar sehingga pelbagai tohmahan dilemparkan kepada beliau.

“Satu lagi faktor yang menjadi penyebab kepada isu ini adalah kerana Larry itu bukan berada dalam kartel, kalau dia orang kartel perkara ini tidak berlaku kerana banyak cabang lain juga menerima pertambahan ahli dalam jumlah yang banyak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menafikan PKR mempunyai ‘tauke’ sehingga mampu membeli pengundi seperti yang diperkatakan Mohamed Azmin dalam ucapan pada majlis makan malam bersama anggota parti PKR daripada 29 cabang di Sarawak, malam tadi.

“Pada saya kenyataan itu macam bermimpi di siang hari, tiada pun ‘tauke’ (dalam PKR). Kalau ada pun hanya ada dua (calon) iaitu Mohamed Azmin atau Rafizi. Seorang menteri Kabinet dan seorang lagi pe­nganggur. Bahkan, untuk apa pun melabur kononnya membeli undi, bukan bertanding jawatan Presiden PKR pun,” ujar beliau.