AB. AZIZ AB. KADIR

Dalam masa sama, PKR turut mempersoal dan menemplak Pas kerana gagal melakukan perkara sama apabila wakil mereka termasuk Exco di Selangor masih menjalankan tugas seperti biasa meskipun kedua-dua parti itu sudah 'bercerai'.

Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, pihaknya akur dengan keputusan parti yang mahu semua lantikan politiknya di Kelantan melepaskan jawat­an.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima arahan tersebut dan menunggu surat rasmi daripada parti sebelum bertindak.

"Apabila Pas membuat keputu­s­an untuk putus dengan PKR, kita sudah menjangkakan perkara ini berlaku. Kita akur pada arahan parti dan akan meletakkan jawatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malam tadi, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meng­umumkan keputusan parti itu me­ngarahkan semua lantikan politiknya dalam pentadbiran kerajaan Pas Kelantan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, menurut Wan Azizah, kedudukan Pas dalam kerajaan PKR Selangor pula akan diputuskan pimpinan parti itu selepas Menteri Besar, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali pulang daripada lawatan rasmi di luar negara.

Mengulas lanjut, Ab. Aziz berkata, Pas juga sepatutnya mengambil langkah sama dengan melepaskan semua jawatan di Selangor.

“Apabila kedua-kedua parti sudah putus mana boleh kita berada lagi dalam kerajaan, itu amalan tidak sihat,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini pula berharap semua wakil PKR sudi mempertimbangkan untuk kekal dengan jawatan lantikan politik sehingga hujung tahun ini.

Untuk rekod, antara jawatan lantikan politik PKR di Kelantan ialah seperti Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelia Parlimen, ketua kampung, Ahli Majlis Daerah dan beberapa jawatan melibatkan anak syarikat kerajaan negeri.