Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, pihaknya sudah menerima arahan tersebut dan menunggu surat rasmi daripada parti sebelum melepaskan jawatan.

"Antara jawatan lantikan politik PKR di Kelantan adalah seperti Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelia Parlimen, ketua kampung, Ahli Majlis Daerah dan beberapa jawatan melibatkan anak syarikat kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam kerajaan Pas Kelantan melepaskan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Dalam kenyataan yang dibacakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, perkara itu juga telah disampaikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

Selain itu menurut Wan Azizah, kedudukan Pas dalam kerajaan PKR Selangor pula akan diputuskan pimpinan parti itu selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pulang daripada lawatan rasmi di luar negara. - UTUSAN ONLINE