NORAINI AHMAD

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan kali pertama menyaksikan PKR memanipulasi elemen demokrasi negara kerana pada 2008, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pernah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau memberitahu, Lee Chin Cheh pula mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 2014 untuk memenuhi kehendak individu yang sama.

“Kesemua tindakan ini menunjukkan begitu keta­ra kelemahan sistem pilihan raya kita hingga ia boleh dipermainkan sebegitu rupa.
“Jika PRK diadakan kerana kematian atau wakil rakyat disahkan kurang upaya untuk menjalankan tanggungjawab, maka ia sesuatu yang boleh diterima, tetapi jika wakil rakyat mengundurkan diri semata-mata meme­nuhi kehendak seorang ahli politik ingin menjadi Perdana Menteri, ia hanya menimbulkan persepsi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar yang juga Presiden PKR yang baharu dipilih akan bertanding di PRK Parlimen Port Dickson.

Penyandang kerusi itu, Danyal Balagopal telah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menambah, tindakan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan semalam pula dianggap cukup menyedihkan malah perbuatannya itu disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat.

Menurut beliau, PRK Parlimen Port Dickson tidak sepatutnya diadakan lebih-lebih lagi keadaan negara dikatakan sedang bergelut dengan masalah ekonomi.

Malah, Noraini berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga memberi baya­ngan Bajet 2019 yang akan dibentangkan 2 November ini adalah ‘Bajet Pengorbanan’.

“PRK Parlimen Port Dickson juga bertentangan dengan isu yang sentiasa dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa kedudukan kewangan negara meruncing hingga Tabung Harapan diwujudkan bagi membaiki fiskal negara,” katanya.