Setelah lima tahun rungutan tentang ‘wakil rakyat lelap’ ini semakin jelas seperti kalangan penduduk di Parlimen Alor Setar ketika ini.

Sambil bersantai di salah sebuah kolam renang awam di sini baru-baru ini, seorang rakan wartawan akhbar berbahasa Cina tiba-tiba menzahirkan rasa kecewanya terhadap keadaan Parlimen Alor Setar kepada penulis.

Katanya, penduduk di kawasan ini terutamanya masyarakat Cina termasuk golongan peniaga kini seakan hilang tempat mengadu.

Ahli Parlimen yang mereka pilih selama dua penggal sebelum ini iaitu, Gooi Hsiao Leung dari PKR seakan-akan ‘hilang dari radar’.

Mungkin tidak adil untuk mengatakan yang Hsiao Leung tidak pernah turun langsung ke kawasan tetapi tempoh keberadaannya di Parlimen ini terlalu jarang sehinggakan ketika waktu-waktu menghampiri pilihan raya ini pun, susah hendak nampak batang hidungnya di sini.

Disebabkan itu terlalu banyak rungutan timbul mengenai wakil rakyat ini.

Rata-rata masyarakat Cina merungut kerana isu yang sering dicanang peguam itu bukanlah isu-isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.

Bagi penduduk di sini, tidak sukar sebenarnya untuk menelah mengapa isu tersebut berbangkit.

Ahli Parlimen ini bukanlah anak tempatan yang memahami selok belok kehidupan masyarakat di sini kerana beliau berasal dari Pulau Pinang, mendapat 
pendidikan Inggeris dan dikhabarkan lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur bersama ahli keluarga.

Hujung minggu, kelibatnya hilang di Alor Setar sedangkan pada waktu inilah paling sesuai untuk wakil rakyat bersama penduduk dan bertanya khabar 
tentang masalah mereka.

Satu lagi isu yang sering dibangkitkan oleh masyarakat Cina di sini adalah kegagalan Hsiao Leung untuk berinteraksi dalam bahasa Mandarin yang dilihat 
lebih formal bagi kaum itu.

Dikatakan Hsiao Leung hanya mampu untuk berinteraksi dalam dialek Hokkien dan keadaan itu membataskan hubungan antara beliau dengan golongan 
tertentu dalam kaum itu.

PKR memenangi kerusi Parlimen Alor Setar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) setelah menewaskan calon dari MCA.

Namun harus diingatkan bahawa faktor kemenangan itu juga disumbangkan oleh sokongan Pas yang masih berada dalam Pakatan Rakyat ketika itu.

Selain faktor pengundi mula memberontak, ketiadaan Pas dalam Pakatan Harapan juga dijangka menghukum bekas sekutu mereka itu kelak.

Ketika pilihan raya umum sudah kian menghampiri, gelombang penolakan terhadap Ahli Parlimen ini sebenarnya kian terasa.

MCA yang bakal mengekalkan kerusi tradisi mereka bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di situ pula sudah mula mengorak langkah dengan 
memperkenalkan tokoh tempatan yang dekat dengan masyarakat Cina iaitu bekas senator, Datuk Yoo Wei How.

Di sebalik segala kelemahan yang ada pada Hsiao Leung, tugas untuk merampas kerusi Parlimen Alor Setar bukanlah mudah.

MCA hakikatnya perlu terus bekerja keras dan tidak terlalu mengharapkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata semata-mata untuk menyumbang undi kepada mereka.

Tidak dinafikan bahawa wakil rakyat Bakar Bata itu juga yang banyak membantu penduduk di Alor Setar terutamanya ketika mereka dilanda musibah 
seperti banjir atau ribut. - UTUSAN ONLINE