Walaupun hanya berkaitan PKR, namun impak daripada kedua-dua proses itu sebenar­nya amat penting kepada rakyat kerana ia bakal mencorak semula pentadbiran negara, termasuklah siapa yang akhirnya menjadi Perdana Menteri.

Apabila pengundian diadakan dalam tempoh terdekat, pasti menimbulkan bermacam teori mengenai konspirasi yang bakal dihadapi oleh Pre­siden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Rafizi yang turut sama berada dalam sidang akhbar semasa pengumuman pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson, membuatkan pemerhati politik melihat rancangan me­ngadakan PRK dan pemilihan parti dalam tempoh serentak seakan memberi kelebihan kepada bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Kelebihan kepada Rafizi itu digambarkan lagi apabila nama Mohamed Azmin seolah-olah sudah busuk ko­nonnya bersekongkol mahu menghalang kemaraan Anwar.

Rafizi amat menagihkan undi yang tinggi pada Ahad ini dan beliau tidak boleh membiarkan Mohamed Azmin menang besar di Selangor, kerana negeri itu adalah penentu keputusan pemilihan memandangkan terdapat 400,000 ahli parti iaitu paling ramai berbanding negeri lain.

Berbekalkan status sebagai Pengerusi PKR negeri dan bekas Menteri Besar, Mohamed Azmin pasti mahu menang dengan margin yang besar supaya menutup terus peluang Rafizi untuk menjadi orang nombor dua parti.

Dengan menggunakan tema ‘Reformasi 20 Tahun’ dalam Pemilihan PKR, kem Rafizi pastinya mahu mengambil kesempatan sepenuhnya daripada kemenangan Anwar di Port Dickson untuk disesuaikan dengan perkataan reformasi yang diperjuangkan mereka.

Sejauh manakah impak PRK Port Dickson dan kemenangan Anwar terhadap keputusan Pemilihan PKR di Selangor dan di seluruh negara amat menarik untuk diikuti.

Anwar buat masa ini kelihatan tiada masa untuk mencampuri hal ehwal Pemilihan PKR, namun sebaik sahaja menang di Port Dickson, beliau tentu mengharapkan gandingan dengan individu dalam parti yang benar-benar menyokong dan tidak menggugat beliau.