Ketua Srikandi Bersatu Melaka, Azalina Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof memecat Ruslin yang sebelum ini dilantik sebagai Penyelaras DUN Ayer Limau selepas beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.


“Pemecatan ini dilakukan tanpa asas, tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak memberi peluang serta keadilan kepada Datuk Seri Ruslin untuk memberi penjelasan dan membela diri beliau.


“Tindakan yang dilakukan ini mirip kepada pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir suatu ketika dahulu yang telah melemahkan dan menghancurkan UMNO dan BN pada PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Ruslin yang merupakan bekas Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah menjadi calon Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 di kerusi DUN Ayer Limau dalam Parlimen Masjid Tanah namun beliau tewas kepada calon BN, Datuk Amirudin Yusof dengan majoriti 1,479 undi.


Menurut Azalina, Kerajaan PH di bawah pimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari sebelum ini melantik bekas-bekas calon yang tewas dalam PRU-14 untuk menjadi penyelaras di DUN masing-masing.


“Kami berpendapat beliau (Ruslin) telah menjalankan tugasan dengan baik dan penuh dedikasi namun pemecatan tanpa asas dan pertimbangan yang betul dan kukuh mampu melemahkan dan merugikan Bersatu dan PH secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu Melaka, Ramlan Meon menyifatkan situasi ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat bagi parti Bersatu dan PH di Melaka.


“Kami tidak menyokong, mengecam serta membantah keputusan, pendekatan dan gaya kepimpinan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri ini yang dilihat merugikan parti.


“Oleh yang demikian, kami memohon campur tangan Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta barisan pimpinan tertinggi Bersatu Pusat dalam perkara ini demi survival parti Bersatu di Melaka,” katanya. - UTUSAN ONLINE