Presiden PKR itu berkata, beliau berharap proses yang akan menyaksikan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri berjalan baik dan menyerahkannya kepada Allah.

"Apabila tiba masa ketika untuk kita alih pimpinan, kita alihlah. Tak perlu berebut. Kalau sudah Allah tetapkan ada lah. Bertawakallah, sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berserah. 

"Kita hanya ikhtiar, antara ikhtiar adalah dengan jadi ahli Parlimen dan saya pilih bertanding di Port Dickson," katanya semasa berucap dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Bandar Baru Sunggala di sini malam ini. 

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr. Mujahid Yusof dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. 

Anwar berkata, apa yang berlaku antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beliau sebelum ini perlu dilupakan kerana yang penting ketika ini adalah menyelamatkan ekonomi negara.

"Yang penting kita lihat ke depan, itu yang Dr. Mahathir cakap semasa ceramah semalam. Itu saya setuju, yang sudah, sudahlah. Masalah ekonomi kita pada masa ini tidak pernah seburuk yang kita lihat selama ini," katanya. 

Calon PH bagi PRK Port Dickson itu berkata, beliau mahu ke Dewan Rakyat supaya dapat memastikan Parlimen berperanan dengan berkesan dalam membantu rakyat. - UTUSAN ONLINE