Mastura berkata, melalui mandat yang diberikan oleh rakyat itu,  beliau dapat meneruskan perjuangan suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad untuk memajukan Kuala Kangsar.

“Penduduk telah putuskan siapa yang mereka mahu sebagai wakil mereka dan saya bersyukur kepada Allah kerana BN telah mencapai kemenangan.

“Kemenangan ini merupakan manifestasi rakyat yang letakkan kepercayaan dan keyakinan kepada BN,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya malam ini.

Beliau memperoleh 12,653 undi mengalahkan calon Pas, Dr. Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684 undi, calon PAN, Prof. Dr. Ahmad Termizi Ramli dengan 4,883 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang sekadar meraih 54 undi.

Menurut Mastura, orang Kuala Kangsar tahu apa yang mereka inginkan dan menterjemahkannya hari ini dalam bentuk undi kepada BN.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi kerana memberi peluang kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara pertama yang ingin dilakukan ialah melawat semua kampung di Parlimen Kuala Kangsar selepas mendapat nasihat daripada ilmuan agama.

Katanya, kemenangan itu tidak akan berlaku tanpa kerja keras daripada jentera parti dan keikhlasan yang dipamerkan mereka benar-benar menyentuh hatinya.

“Dalam keadaan keterbatasan saya sebagai calon yang tidak boleh keluar berkempen kemenangan ini sangat menyentuh hati,” jelasnya. - Utusan Onlne