Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol berkata, rakyat Sarawak menghadapi proses pilihan raya secara berterusan bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac 2014, diikuti Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRU-11), 7 Mei 2016 dan terakhir PRK DUN Tanjong Datu pada 18 Februari tahun lalu.

Katanya, keadaan itu membuatkan jentera BN sentiasa bekerja dan sudah memahami keperluan untuk menghadapi PRU-14.

"Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang menghadapi pilihan raya paling kerap iaitu selang dua tahun sekali.

"Keadaan ini, membuatkan Sarawak paling bersedia untuk menghadapi PRU-14 kerana semua data tentang pengundian masih lagi baharu, manakala `enjin' (jentera) parti masih lagi `panas' (semangat) untuk digerakkan," katanya dalam ucapan semasa Majlis Tautan Mesra Bersama Media 2-18 anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di restauran The White Barouk di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazlan Hipni; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak, Hassan Busu.  Pengerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Jacqueline Nur Atiqah Abdullah dan Presiden Persatuan Jurugambar Media Sarawak (SPPA), Mohd. Radzi Bujang.

Mengulas lanjut tentang persiapan menghadapi PRU-14, Abdullah yang juga ADUN Semop berkata, pada pilihan raya kali ini, kesemua 72 ADUN BN akan membantu calon di kesemua 31 kerusi Parlimen bagi memastikan kemenangan mereka.

Katanya, perkara paling penting dilakukan menjelang PRU-14 ialah menangani isu nasional yang relevan dengan rakyat negeri ini.

"Dalam hal ini, kerjasama dengan pihak media amat diperlukan kerana laporan media akan mencerminkan personaliti seorang ahli politik kepada rakyat sama ada wakil rakyat BN atau parti pembangkang.

"Sebagai pengamal media, anda mempunyai kebebasan untuk menulis tetapi mestikan berpandukan kepada fakta benar dan bertanggungjawab," ujarnya.

Justeru, katanya, beliau mewakili BN Sarawak amat menyokong usaha kerajaan Pusat mahu membawa cadangan meminda undang-undang untuk menangani penyebaran berita palsu di media sosial pada mesyuarat Kabinet nanti.