Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas berhubung PRK Rompin yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Sebaik sahaja mesyuarat khas itu selesai, Abdul Aziz kemudian mengumumkan tarikh pengundian PRK Parlimen Rompin iaitu pada 5 Mei ini manakala 22 April ini merupakan hari penamaan calon dan 30 April pula tarikh pengundian awal.

“Pada asalnya, SPR bercadang PRK di kedua-dua tempat diadakan serentak namun kita mendapati tarikh 7 Mei seperti yang telah ditetapkan sebagai hari mengundi di PRK Parlimen Permatang Pauh bertindih dengan Hari Hol di Pahang.

“Hari Hol diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang dan sepanjang hari tersebut akan dipenuhi banyak acara yang memerlukan pembabitan kerabat diraja, pihak istana, ketua-ketua jabatan dan orang ramai di negeri berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas tersebut.

Hari Hol merupakan hari memperingati kemangkatan keluarga diraja di Pahang.

Kelmarin, SPR telah menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei, hari penamaan calon pada 25 April dan 3 Mei merupakan hari pengundian awal bagi pilihan raya kecil berkenaan.

Kekosongan Parlimen Rompin disebabkan penyandangnya, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis kembali ke rahmatullah selepas terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, Jamaludin mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang disandangnya sejak 23 tahun lalu selepas mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Abdul Aziz berkata, atas asas itu mesyuarat memutuskan tidak sesuai untuk diadakan dua pilihan raya kecil serentak dan tambahan pula undang-undang tidak menghalang SPR mengadakan PRK Parlimen Rompin lebih awal daripada Permatang Pauh.

“Walaupun kerusi Permatang Pauh terlebih dahulu kosong, undang-undang tidak menghalang SPR untuk mengadakan PRK Parlimen Rompin lebih awal asalkan memenuhi syarat-syarat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Jarak dua hari itu cukup untuk kita mengendalikan kedua-dua PRK kerana ahli panel dan pegawai SPR tidak ada masalah untuk berada di kedua-dua tempat itu,” ujarnya.

Selain itu beliau turut mengumumkan pelantikan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Datuk Fadzilla Salleh sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya sambil dibantu oleh lima penolongnya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepada para majikan sama ada sektor awam atau swasta supaya memberikan pelepasan kepada pekerja masing-masing memandangkan hari mengundi di PRK Rompin jatuh pada hari Selasa.

“Majikan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika menghalang pekerja untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi boleh didenda sebanyak RM5,000 atau setahun penjara sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.