Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masa hadapan negara perlu diletakkan di tangan pemimpin yang mampu merangka agenda pembangunan negara dengan lebih baik, berbanding pemimpin masalah lampau lebih ghairah membawa kaedah pemikiran lama ke masa hadapan.

"Ada yang berusia 93 tahun minat nak jadi Perdana Menteri balik, yang senja meniti malam, Zimbabwe dah tak ada, 93 tahun masakan...saya tidak hendak cakap diri saya, kita ada agenda untuk negara lebih baik dan kejayaan lebih hebat kita jayakan," kata beliau.

Najib berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Perhimpunan agung parti berkenaan berakhir hari ini dihadiri oleh 30,000 ahli sebagai manifestasi sokongan padu dari akar umbi kepada kepimpinan parti masa kini.

Beliau yang menyifatkan UMNO memperolehi kekuatan baharu, berkata, parti itu tidak pernah berundur daripada memperjuangkan agenda ekonomi bumiputera dan mengangkatnya menjadi agenda nasional.

"Belah sana (pembangkang) tak ada agenda bumiputera, kita saja, Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO ada agenda bumiputera, saya, Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan rakan-rakan tiap bulan mengadakan mesyuarat Majlis

Ekonomi Bumiputera," jelas beliau.

Agenda Melayu bumiputera, kata Najib, disusun dengan rapi dan dijadikan sebagai agenda nasional.

Najib turut mendedahkan bagaimana telusnya kerajaan yang ada pada masa ini dalam menganugerahkan projek termasuk pembangunan MRT.

"Tidak ada kroni, tender MRT saya pun saya tak tahu syarikat mana. Permohonan hanya dilabel dengan nombor PT 1, 2 dan 3 sahaja. Markah diberi bagi harga dan teknikal, telus, siapa kata kita tidak urus dengan baik, sebab itu jimat RM2 bilion projek MRT.

"Saya bangga syarikat bumiputera boleh berjaya, asalkan diberi kepada syarikat bumiputera yang betul bukan seperti cerita lama kroni yang menyebabkan saya terpaksa selesai isu IPP , Bakun, Perwaja dan RM31 bilion hilang," jelas beliau.

Beliau yakin apabila satu lagi projek kereta api laju ke Singapura selesai, ia akan menjadi "game changer" kepada ekonomi keseluruhan tanpa meminggirkan pembangunan di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Najib juga memberi jaminan kerajaan pusat akan memulangkan kembali perkara berkaitan rakyat Sabah dan Sarawak mengikut Malaysia Agreement 1963 (MA63).

Perkara itu, katanya, akan dibincang dengan telus tidak seperti kepimpinan dahulu yang akan mengenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika isu itu dibangkitkan. - UTUSAN ONLINE