Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka tidak harus terpe­ngaruh dengan kalangan yang sememangnya tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

“Dalam politik pun kena pegang prinsip Islam. Kalau dah tahu orang itu tidak suka perkembangan Islam di negara kita, kenapa pula nak bersekongkol dengan dia?” katanya.

Perdana Menteri menyatakan perkara itu ketika berucap dalam majlis Pelancaran Jom Bantu Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Tapak Perumahan Idaman Rakyat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Santong, Paka dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Najib berkata, kerajaan mem­punyai agenda untuk meletakkan Malaysia antara 20 negara terbaik dunia yang maju bersama-sama ketinggian ketamadunan Islam dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“Kita tidak mahu orang perlekehkan kita. Kita mahu Malaysia diletakkan di tempat ter­tinggi yang sentiasa disanjungi dan dihormati,” katanya.

Perdana Menteri selanjut­nya menegaskan, sebagai bukti Malaysia sebuah negara yang berada pada landasan Islam sebenar adalah menerusi pengiktirafan tertinggi daripada pemimpin kerajaan Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang memilih negara ini sebagai lokasi penubuhan sebuah Pusat Islam.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yakin bahawa Terengganu akan terus di­pimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) berdasarkan perkembangan semasa dan kegigihan pemimpin tempatan yang giat menjaga kebajikan rakyat.

Kemenangan di Parlimen Dungun juga katanya boleh dicapai sekiranya ada perpaduan dalam kalangan tiga pemimpin kawasan itu tanpa adanya ‘cah keting’ sesama pemimpin UMNO.

Jelasnya, kerusi Parlimen Dungun dan tiga lagi kawasan Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) iaitu Paka, Sura dan Rantau Abang akan dapat dirampas semula daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika semua pemimpin UMNO setempat tidak berpecah.