Pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik berpendapat, perkara tersebut ada dinyatakan dalam al-Quran dan seharusnya dijadikan pedoman kepada umat Islam, tidak kira di mana mereka berada.

“Sekiranya terdapat parti politik bekerjasama dengan parti yang bukan Islam, umat Islam harus memilih parti atau pe­mimpin yang kurang menimbulkan mudarat kepada Islam.

“Perkara ini ada disebutkan dalam al-Quran, jika ada dua orang beriman sedang berbalah, kita pilih orang beriman yang lebih dekat dengan al-Quran dan sunnah,” katanya.

Beliau menjawab soalan daripada salah seorang hadirin da­lam sesi ceramah bertajuk How to Tackle Islamophobia sempena penganjuran Ijtimak 150 Cendekiawan Islam Malaysia anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Rumah Alumni Universiti Malaya di sini, hari ini.

Beliau menambah, parti-parti politik Islam tidak seharusnya bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menentang Islam ke­rana tiada kompromi dalam soal agama selain dijelaskan al-Quran melalui surah Ali Imran ayat 28.

“Umat Islam tidak boleh menyerahkan nasib kepada mereka yang menentang Islam. Perkara ini tidak ada keraguan lagi kerana umat Islam tidak boleh menganggap soal ummah boleh ditolak ansur demi politik,” ujarnya.

Sementara itu, berhubung ce­ramah yang disampaikan dalam majlis tersebut, Zakir menjelaskan, fenomena Islamophobia yang melanda dunia pada masa ini berpunca daripada propaganda media antarabangsa yang bertujuan untuk melihat umat Islam lemah dan berpecah belah.

“Media antarabangsa memainkan peranan mereka untuk memburuk-burukkan Islam dan mana-mana ikon Muslim akan diserang dengan pelbagai fitnah.

“Oleh itu, umat Islam perlu bijak menggunakan teknologi media terkini bagi memastikan dakwah Islam tersebar dan segala tohmahan tentang Islam ditangkis dengan segera,” jelasnya.

Mengulas mengenai laporan beliau melarikan diri dari India selepas dirinya dan organisasi miliknya, Islamic Research Foundation didakwa mempromosi ke­giatan keganasan, Zakir memberitahu, beliau sedia memberikan kerjasama kepada Agensi Siasatan Negara India (NIA) untuk siasatan.