Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ia berdasarkan kepada jentera dan gerak kerja pilihan raya yang sudah dimulakan dan jika diteruskan akan memberi kesan diharapkan.

“Proses penamaan calon telah selesai dan sekarang tumpuan perlu diberikan kepada gerak kerja. Saya bertugas di Rantau untuk membantu calon PH, Dr. S. Streram,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon PRK DUN Rantau di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini.

Menurutnya, tiga fokus utama akan diberikan dalam gerak kerja PRK tersebut iaitu memberi sokongan penuh kepada kerajaan PH di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Di peringkat negeri, jelasnya, selama hampir setahun, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah memberi pertolongan langsung kepada rakyat terutamanya dalam isu kemiskinan dan kemudahan asas termasuk beberapa program baharu di Rantau.

“Fokus ketiga, kita lihat Rantau sebagai kawasan berhampiran Kuala Lumpur mempunyai potensi besar tetapi telah terabai walaupun diwakili oleh UMNO dan Barisan Nasional sejak sekian lama,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memohon pengundi di Rantau memberi kemenangan kepada calon PH itu yang telah dinafikan peluang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, dalam PRU itu, Dr. Streram tidak dibenarkan bertanding akibat tindakan tidak adil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu.

“Kali ini, kita ketengahkan calon yang sama sekali lagi untuk meneruskan perjuangan keadilan kepada rakyat,” katanya.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru jentera PH di semua peringkat terus bekerja merayu undi dalam PRK tersebut.

“Kita juga akan menerangkan apa yang kerajaan PH telah lakukan di peringkat pusat dan negeri dalam usaha mengembalikan maruah Malaysia,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PRK itu akan memberi ruang terbuka kepada PH untuk memberi penjelasan lebih terperinci apa yang diperjuangkan kerajaan pada peringkat negeri dan negara.

“Kita mengambil sikap ofensif dan bukan defensif. Saya tidak fikir kita perlu bersikap defensif seolah-olah apa yang dilakukan kerajaan selama ini tidak memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE