Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu mendapat sokongan dan perhatian daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Kita tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk meraih undi dan ini diteliti oleh semua pihak yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas penamaan calon PRK DUN Rantau di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) yang mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan Rantau.

Bersih 2.0 berpendapat, tindakan itu boleh dianggap sebagai kesalahan dalam pilihan raya.

Badan itu memberitahu, program pemberian kupon makanan percuma itu turut dihadiri calon PH DUN Rantau, Dr. S. Streram.

Anwar berkata, PH mengambil kira pandangan Bersih 2.0 dalam isu tersebut.

“Saya telah kata jangan ada apa-apa ketelanjuran tetapi hal ini kami serah pada Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE