Perkara ini mendapat perhatian Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang menggesa kerajaan segera menguruskan persepsi buruk yang menyelubunginya.

Menurut Presiden MCA itu, antara isu yang memburukkan persepsi rakyat terhadap PH adalah kegagalan pakatan itu mempamerkan ketelusan dalam isu pendakwaan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan dan pembangkang.

“Seorang individu terpaksa meringkuk dalam penjara selama tiga hari dan membayar jaminan hanya kerana memanggil seorang menteri dengan gelaran bodoh. Dalam masa sama, kes melibatkan seorang peguam, individu yang lain menunjukkan isyarat lucah kepada kumpulan yang tidak sehaluan dengannya digugurkan.

“Ironinya, pengguguran kes itu berlaku setelah video beliau menari dengan Peguam Negara tular dalam media sosial,” katanya.

Bulan lalu, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo direman tiga hari setelah didakwa mengaib dan mendatangkan kecederaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum itu, peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim pula dilepaskan daripada pertuduhan menunjukkan isyarat jari tengah dalam satu forum pada tahun 2016. – UTUSAN ONLINE