po_04 : Muhammad Sanusi Md. Nor
Muhammad Sanusi Md. Nor

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan PH kini seolah-olah ‘parti pondan’ yang tidak cukup kuat untuk menarik sokongan rakyat sehingga terpaksa mengharapkan undi golongan LGBT.

“Kerajaan(PH) ini bergantung kepada golongan ini untuk mendapat undi, jadi untuk membalas jasa maka dia (kerajaan PH) terbuka. Dia fikir kalau membuka lebih banyak ruang akan mendapat lebih sokongan tapi tak sedar mereka sedang bermain dengan api.

“Bila dia (menteri) tebuk satu tempat (bebas bersuara termasuk mempersoal kontrak sosial, hak Raja-raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu), orang ‘jerkah’ (tengking) dan dia pergi tebuk tempat lain pula.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas untuk mengawal kecenderungan baharu ini (bebas bersuara termasuk mempersoal Perlembagaan Persekutuan) memelihara keharmonian negara,”katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, pihaknya berharap parti-parti politik dalam Malaysia ini terus menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

Dalam perkembangan lain, beliau yang merupakan Ketua Pembangkang Kedah berkata, Pas mencadangkan supaya kerajaan negeri menambah tempoh bersidang DUN dari empat kepada tujuh hari bekerja.

“Negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor bersidang sehingga dua minggu tapi di Kedah hanya empat hari. Hari pertama perasmian dan tiga hari lagi untuk bersidang, agak kelam-kabut yang mana tidak memberi ruang yang cukup kepada ADUN (ahli dewan undangan negeri) untuk berhujah dan perbahasan.

“Saya cadang kerajaan negeri mengkaji perkara ini. Kita berharap kerajaan negeri dapat mengemukakan usul untuk memanjangkan tempoh bersidang DUN bagi membolehkan Speaker memberi lebih banyak masa kepada ADUN untuk berhujah,” katanya. - UTUSAN ONLINE