Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, adalah menjadi kesalahan apabila terdapat pihak membawa bahan kempen termasuk lambang parti di tempat mengundi atau dalam jarak 50 meter dari lokasi mengundi.

“Saya telah diberitahu perkara itu (tindakan pakai baju berlogo parti) sebentar tadi dan saya rasa pihak pemantau pilihan raya perlu menegur beliau.

“Bagaimanapun, tindakan te­­lah diambil dengan meminta be­liau keluar daripada kawasan tem­pat mengundi kerana dalam ka­wasan tersebut dan 50 meter da­rinya, tiada sesiapa dibenarkan membawa bahan kempen dan logo parti,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ringlet di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presi­den yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UM­NO, Datuk Seri Ismail Sabri Ya­akob mempersoalkan tindakan Manogaran memakai baju berlogo parti dalam perkarangan pusat pe­ngundian yang disifatkan sebagai sengaja mencabar akta SPR.

Malah beliau mendakwa, banyak perkara yang bertentangan akta SPR dilakukan calon PH bersama jenteranya bermula sejak hari penamaan seperti pengedaran duit minyak, penggunaan kenderaan kerajaan, pemberian sumbangan dan bantuan secara ter­buka serta ugutan terhadap tok batin.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan PH tidak mempedulikan apa peraturan serta undang-undang dan buat apa yang mereka suka,” katanya.