Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Salahuddin Ayub bagaimanapun berkata, isu kemasukan individu dan parti lain terutama daripada Barisan Nasional (BN) akan dibawa ke perbincang­an Majlis Presiden terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Semua orang berpeluang (sertai Pakatan Harapan), boleh tinggalkan atau sertai atas prinsip demokrasi.

“Bagaimanapun segala keputusan perlu dibincangkan sebelum dipersetujui parti,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara dan Parlimen Shah Alam di pekarangan Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Semalam, Gerakan meng­umumkan keluar BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.

Hari ini, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali pula membuat tindakan sama mengumumkan keluar UMNO dan BN.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu, Pakatan Harapan tetap mengekalkan prinsip yang dibuat Pengerusi, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari pertama membentuk kerajaan iaitu tidak akan tergesa-gesa membuat sebarang keputusan.

“Kita tidak akan tergesa-gesa dan gopoh dalam membuat keputusan ini sama ada menerima mana-mana individu atau parti lain.

“Jika mahu sertai Pakatan Harapan, betulkan (niat) dahulu tetapi sebarang keputusan akan dibuat atas dasar konsensus,” ujarnya.