Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu bukanlah satu isu dan semua ahli Parlimen bebas boleh menyertai mana-mana parti komponen selepas dipersetujui Majlis Presiden.

"PH mempunyai Majlis Presiden dan sudah ada perbincangan tentang kemasukan pemimpin atau anggota parti lain termasuk daripada UMNO yang ingin menyertai mana-mana parti dalam PH.

"Ada dua prinsip yang menjadi pegangan PH iaitu semua parti bebas menguruskan hal ehwal parti masing-masing dan perkembangan yang berlaku dalam parti akan dilaporkan secara berkala pada mesyuarat Majlis Presiden," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan futsal anjuran Parlimen Indera Mahkota di Gelanggang Futsal Kampung Tiram di sini hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Luar percaya setiap parti mempunyai kebijaksanaan sendiri mengenai siapa yang hendak mereka bawa masuk ke dalam parti. - UTUSAN ONLINE