SAARANI MOHAMAD
SAARANI MOHAMAD 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Berhad (PCB), Chong Zhemin bahawa terdapat salah urus tadbir taman tema itu oleh pentadbiran terdahulu disifatkan sebagai berniat jahat.

Katanya, sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, PCB tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang dikawal selia Bursa Saham yang mana sebarang urusan syarikat diurus melalui keputusan oleh Ahli Lembaga dengan akaunnya dipantau dan diluluskan jawatankuasa audit.

“Semua keputusan yang dibuat adalah berdasarkan Keputusan Lembaga di mana agensi PCB sebagai pemegang saham tertakluk kepada setiap keputusan tersebut dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bukanlah Pengerusi PCB.

“Jadi, semua pertanyaan berkaitan kedudukan kewangan sewajarnya terletak di bawah bidang kuasa Ahli Lembaga dan jawatankuasa audit manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang memiliki pegangan saham tertinggi biasanya akan dibincangkan melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM),” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Zhemin dalam sidang akhbarnya semalam meminta Zambry memberi penjelasan berhubung peningkatan kos MAPS yang meningkat daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Beliau dilaporkan berkata, selaku bekas pengerusi PKNP, Zambry perlu bertanggungjawab kerana telah meluluskan kos tambahan bagi tujuan penambahbaikan MAPS kepada tiga pihak pemegang saham dengan perjanjian berjumlah RM250 juta. - UTUSAN ONLINE