V. SIVAKUMAR
V. SIVAKUMAR 

Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar berkata, siasatan dalaman yang akan dijalankan dalam masa terdekat itu bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti situasi sebenar dakwaan berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak mahu menamakan siapa (akan dipanggil) kerana kita pun tidak tahu kebenaran dakwaan itu sebab ini adalah tuduhan. Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang mereka (pembangkang) katakan.

“Daripada pihak Barisan Nasional (BN) pun tidak sebut siapa dan di sebelah sini (kerajaan negeri) pun tidak sebut siapa. Kita perlu adakan siasatan dalaman untuk tengok apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas menyempurnakan acara penutup Kejohonan Bola Sepak 9 Sebelah Piala V. Sivakumar di Podium Majlis Daerah Batu Gajah di sini hari ini.

Konflik pentadbiran Perak bermula apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa wujudnya gerakan serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa orang exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Saarani mendakwa rancangan tersebut hendak dilaksanakan oleh beberapa exco berkenaan dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN untuk menyokong usul tidak percaya tersebut. - UTUSAN ONLINE