Pengerusinya, Aminuddin Harun menyifatkan keputusan Anwar memilih untuk bertanding kerusi Parlimen itu sebagai keputusan tepat dan satu penghargaan kepada negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, ini kerana negeri ini bakal menjadi tempat bagi seorang Perdana Menteri baharu apabila Anwar dilantik memegang jawatan itu nanti.

"Kami amat mengalu-alukan dan gembira dengan pengumuman yang mengesahkan keputusan bagi membolehkan Anwar bertanding kerusi Parlimen hari ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri ini, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Danyal Balagopal meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson bagi membuka laluan untuk Anwar bertanding kerusi berkenaan.

Menurut Danyal Balagopal, surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Aminuddin memberitahu, beliau terperanjat dengan keputusan Anwar menjadikan negeri ini sebagai pilihan memandangkan terdapat rakan-rakan Ahli Parlimen PKR dari negeri lain telah menawarkan diri untuk mengosongkan kerusi masing-masing.

"Saya tidak terlibat dalam perbincangan kerusi Parlimen yang ditawarkan kepada Anwar tetapi beliau telah membisikkan keputusannya kepada saya pada satu majlis di Tampin pada Ahad lalu," katanya. - UTUSAN ONLINE