Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat itu juga bagi memberi sokongan kepada calon yang bakal mewakili Pakatan Harapan iaitu daripada DAP.

“Calon yang akan bertanding sudah disahkan adalah daripada DAP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Siri Dialog Digital DNA23 di Universiti Sunway di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Sandakan pada 11 Mei dengan hari penamaan calon pada 27 April serta pengundian awal pada 7 Mei.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, akibat serangan jantung 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt memperolehi 10,098 majoriti selepas menewaskan Datuk Lim Ming Hoo daripada Parti Liberal Demokratik (LDP).

Mengenai kekalahan PH pada PRK Dewan Undangan Negei (DUN) Rantau, Anwar berkata beliau masih menunggu laporan daripada pimpinan PKR peringkat Negeri Sembilan.

“Seperti biasa, post mortem akan terus dilakukan, ia memang sedang dipersiapkan, saya masih menunggu laporan daripada negeri,” katanya.

Pada PRK itu, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat, selepas menewaskan tiga pencabarnya termasuk Dr. S. Streram yang mewakili PH dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd. Nor Yassin.- BERNAMA