Rakyat tidak dapat elak daripada menganggap penarikan diri Mohd. Shukri daripada jawatannya yang berbaki setahun lagi mirip dengan kes Tan Sri Abdul Ghani Patail. Ada udang di sebalik batu.

Pasti akan banyak prasangka yang timbul yang akan menjadi mainan mulut ketika kunjung mengunjung hari raya walaupun telah ada kenyetaan dari Mohd. Shukri. Tetapi kita tidak dapat elak dari orang terus bersangkaan bahawa kenyataan itu mungkin dibuat atas desakan dan tekanan.

Tanpa mempersoalkan kelayakan Latheefa, pelantikan beliau menimbulkan banyak persoalan. Boleh diibaratkan seperti Pakatan Harapan (PH) menggali kubur mereka sendiri jika tidak diuruskan dengan baik dan menyakinkan.

Seperti yang dinyatakan oleh William Leong, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi perlantikan jawatan awam, SPRM adalah agensi yang paling penting untuk memerangi rasuah.

Justeru, PH memberi penekanan utama memasukkan SPRM dalam Janji 14 Manifesto Harapan di mana SPRM mesti diletakkan di bawah kuasa Parlimen Malaysia dan pelantikan Ketua Pesuruhjayanya mestilah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu untuk memastikan kepercayaan awam dan kebebasan badan itu sentiasa utuh dan terjamin.

Persepsi buruk dan jelek terhadap SPRM akan berterusan walaupun Latheefa telah menarik diri daripada menjadi ahli PKR untuk menerima tawaran jawatan itu. Perkara itu telah terjadi ketika Apandi Ali yang pernah menjadi Bendahari UMNO dilantik menjadi Peguam Negara menggantikan Abdul Ghani Patail.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula dalam kenyataannya pada 6 Mac 2018 menyatakan komitmen PH untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat dan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Ketua Pesuruhjaya Pilihanraya tidak akan lagi dilantik oleh Perdana Menteri.

Tetapi kenapa kini berubah? Indah khabar dari rupa. Seolah-olah PH sendiri mengenepikan janji yang di materai bersama dalam Manifesto Harapan. Ibarat menanam tebu di tepi bibir.

Mereformasi SPRM tidak memerlukan belanja yang banyak. Dan tidak juga memerlukan pindaan perlembagaan. Kalau janji sebegini mudah pun dimungkiri, patutlah janji yang memerlukan kos yang besar dan pelaksanaan yang kompleks tidak dapat dilaksanakan.

Berbagai reaksi terbit secara spontan dan cepat. Siapakah yang membuat lantikan ini? Apakah Tun M sahaja? Atau keputusan kabinet atau keputusan Majlis Presiden PH?

Kalau Tun M yang membuat keputusan sendiri, tidak ada beza antara PH dengan Barisan Nasional (BN). Malah seolah-olah kita telah kembali ke zaman Mahathir 1.0 di mana Tun M didakwa banyak membuat keputusan sendiri dan memaksanya kepada ahli Kabinet.

Atau apakah ada dalang di belakang semua ini? Kalau benar, siapakah dalang itu? Kerana kalau dibiarkan dalang itu bermaharaja lela menggunakan Tun M, pasti PH akan hancur tidak lama lagi ibarat retak menanti belah.

Amat menarik jika dapat menyelongkar motif di sebalik semua ini. Dan kalau di amat-amati, kita tidak dapat lari daripada berfikiran dan bersangka tentang perkara besar yang akan berlaku setahun atau dua tahun yang akan datang.

Apakah pelantikan Latheefah ini ada kena mengena dengan peralihan kuasa daripada Tun M ke Datuk Seri Anwar Ibrahim? Apakah ini strategi untuk memastikan tiada pendakwaan boleh dilakukan terhadap kesalahan lampau? Walaupun Tun M beberapa kali menyatakan yang beliau akan serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, tetapi kenapa sampai sekarang tarikhnya belum dimuktamadkan?

Mungkin yang merancang itu sedar terlalu banyak tengkorak tersimpan dalam almarinya. Dan bangkai gajah memang susah hendak disembunyikan. Mungkin juga mereka ini takut Anwar akan didesak oleh Reformis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak untuk menyelongkar kembali apakah ianya melibatkan jenayah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Pelantikan Latheefah ini juga didakwa setengah pihak merupakan satu lagi perancangan teratur pihak tertentu untuk menolak dan menggagalkan peralihan kuasa dari Tun M kepada Anwar Ibrahim. Umum tahu siapa Latheefah ini dan kiblatnya. Bukan sekali dua dia berani mengkritik Anwar secara terbuka tetapi membisu terhadap kiblatnya dalam PKR. Tidak dapat tidak ramai yang terfikir akan kebenaran teori ini.

PH harus komited dan konsisten dengan agenda perubahan dan reformasinya agar rasuah dan salah guna kuasa di zaman Datuk Seri Najib Razak dan sebelumnya tidak akan berulang lagi. Pemimpin PH dari DAP, PKR, Bersatu dan Amanah harus tampil menyatakan pendirian tegas tentang pelantikan ini agar rakyat tahu itu bukan keputusan PH tetapi keputusan Tun M seorang atau mainan politik dalang mempergunakan Tun M.

Sayang seribu kali sayang usaha Mohd. Shukri memulihkan imej SPRM kini tercemar kembali. Apakah kurang pegawai SPRM yang layak yang pakar tentang selok-belok dan sistem SPRM untuk menggantikannya dan meneruskan kesinambungan rekod Mohd. Shukri?

Satu persatu U-turn dibuat dan malangnya pemungkiran janji dilakukan oleh PH sendiri. Dalam sukan ini dinamakan Unforced Error atau kesilapan yang tidak patut dilakukan.

Dan jika ini berlanjutan sesuailah PH untuk dinobatkan sebagai Cakap Tak Serupa Bikin. - UTUSAN ONLINE

 

  • Kenyataan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Utusan Online.