Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, selepas ‘membuat kejutan’ ada wakil rakyat BN mahu lompat parti, mereka juga sengaja memberi gambaran agak jelas siapa individu berkenaan kepada media.

Katanya, strategi tersebut merupakan satu perangkap yang boleh menyebabkan seluruh pimpinan UMNO negeri dan penyokong parti meragui kesetiaan wakil rakyat terbabit lalu menyerang dan melempar pelbagai tohmahan terhadap beliau.

“Jika strategi ini berjaya, mereka berjaya menimbulkan syak wasangka sesama kita, manakala wakil rakyat itu pula mungkin akan kecewa dan benar-benar meninggalkan parti. Tetapi mereka lupa bahawa semangat setiakawan dalam UMNO masih tebal.

“Kesemua wakil rakyat kita terus berpegang teguh kepada amanah parti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Forum Pasca Dewan Undangan Negeri (DUN): Kelantan Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), di sini semalam.

Baru-baru ini timbul khabar angin kononnya PH bakal mempunyai seorang wakil rakyat di negeri ini apabila sekurang-kurangnya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dijangka menyertai Bersatu dalam satu majlis di Machang.

Bagaimanapun, ADUN berkenaan menafikan mahu lompat parti selain tidak muncul dalam majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, beliau mendapat maklumat Bersatu Kelantan memang cuba mendekati wakil-wakil rakyat BN di negeri ini dan memujuk mereka supaya menyertai parti itu.

Bagaimanapun tegasnya, kesemua lapan ADUN dan lima Ahli Parlimen BN kekal istiqamah berjuang bersama UMNO dan mereka tidak terpengaruh dengan pujukan tersebut. - UTUSAN ONLINE