Setiausaha Kerja, Bilik Operasi Pas, PRK Rantau, Ishak Omar berkata, berbaki sehari sahaja lagi tempoh berkempen, setakat ini program jentera Pas dalam membantu BN berjalan lancar serta mengikut seperti mana yang telah dirancangkan.

“Gerak kerja Pas lebih tertumpu untuk mencari dan mengenal pasti penyokong dan ahli-ahlinya yang bakal mengundi di Rantau. Di samping itu, kami juga membantu dari segi mengadakan ceramah serta mengedar risalah kempen.

“Jentera Pas yang terdiri daripada pemuda dan muslimat mengikut dan memberi bantuan serta bergerak bersama UMNO dan BN dalam mendekati pengundi. Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) juga turun membantu terutama ketika menyantuni dan menziarahi penduduk bukan Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya perasaan ketika membantu BN bagi menghadapi PRK Rantau, Ishak menyifatkan ia sebagai tanda kepatuhan petugas-petugas Pas kepada kepemimpinan parti.

“Ahli Pas yang betul-betul istiqamah, dia wala’ kepada pemimpin, kalau pemimpin kata putih kita akan ikut putih. Buangkan perasaan sebab kepemimpinan kita hadapi lebih teruk berbanding kita di bawah.

“Ada yang difinah dan dihina, sedangkan kita di bawah rasanya tidak sampai sekuku yang kita alami tetapi pemimpin atasan kita lebih teruk kena. Jika mereka boleh berikan kerjasama yang lebih baik, apatah lagi kita,” katanya.

Sementara itu, menurut bekas Setiausaha Pas Kawasan Rembau, Rusilah Mad Som pula berkata, jentera muslimat Pas telah memainkan peranan yang cukup berkesan dalam membantu BN ketika ini.

“Muslimat Pas saya rasa antara petugas yang paling berkesan untuk meraih undi dan sentiasa ke depan dalam membantu. Kerjasama dengan Wanita UMNO juga amat baik.

“Semasa pilihan raya lepas, saya ada terfikir adakah suatu hari nanti kepemimpinan Pas ini boleh terima untuk bekerjasama dengan UMNO. Memang sedih bila kita kalah dulu tapi sekarang ini adalah hikmahnya dan ia telah berlaku, Alhamdulillah Pas dan UMNO boleh bersama,” katanya. - UTUSAN ONLINE