Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr, Shamsul Anuar Nasarah berkata, hal itu kerana terdapat beberapa media antarabangsa telah melaporkan kerajaan sudah memulakan pelan bagi melupuskan 25 peratus ekuiti dalam Petronas melalui penyenaraian awam di bursa saham.

“Tindakan ini dijangkan memberi pulangan dana RM200 bilion kepada kerajaan PH. Kita bimbang jika perkara ini menjadi kenyataan dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menafikan langkah penjualan ekuiti ini sedang dibincangkan.

“Penjualan ekuiti perlu dielakkan bagi membolehkan Petronas terus berperanan sebagai rizab dan khazanah negara pada masa hadapan. Kita tidak bersetuju jika penjualan ini dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, Petronas perlu kekal sebagai rizab kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, Petronas tidak seharusnya dijadikan bahan dagangan untuk jual beli keuntungan pihak swasta dan kepentingan syarikat asing.

“Petrol itu memanglah bahan dagangan, tapi bukan Petronas. Petronas adalah sebuah syarikat negara, syarikat kebangsaan yang menjadi lambang kedaulatan negara. Menjual Petronas sama seperti menjual negara.

“Tindakan menjual ekuiti kepada pelabur luar negara bukan langkah yang bijak apatah lagi selepas Petronas memiliki aset yang sudah melebihi sekali ganda daripada aset asal manakala aset wang tunai sudah melambung kepada RM150 bilion sebelum diambil PH,” katanya. - UTUSAN ONLINE