ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong semalam me­nyaksikan calon PH, Wong Siew Ki menewaskan calon MCA, Tan Chee Teong dalam suasana yang kurang menonjol iaitu dengan hanya majoriti 18,533 undi.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah di kedua-dua PRK DUN Balakong dan Seri Setia merupakan petanda awal undi protes ter­hadap kerajaan baharu.

“Meskipun keputusan kedua-dua PRK itu seperti yang diramalkan namun ia menyaksikan tahap kepedulian yang tinggi dalam pengundi Melayu. Mereka mula menyatakan so­kongan kepada calon pembangkang dengan menyokong calon Pas di PRK DUN Seri Setia,” katanya dalam laman sosial Facebooknya di sini hari ini.

Semalam, calon Pas bagi PRK DUN Seri Setia, Dr. Halimah Ali tewas kepada calon PH, Halimey Abu Bakar de­ngan majoriti 4,027 undi.

Bagaimanapun, jumlah majoriti yang diperolehi Halimey itu jauh berbeza dengan majoriti diperoleh penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin iaitu 29,250 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Annuar turut me­minta masyarakat Melayu supaya merenung ke hadapan kerana akhirnya merekalah yang terania­ya di bawah pentadbiran kerajaan baharu ini.

“Siapa yang menjadi mangsa PH hari ini? Siapa kerajaan yang dibuang kerja dan dicemuh? Siapa peneroka Felda yang tertipu? Siapa nelayan yang ter­aniaya? Siapa Raja yang dihina? Mahkamah Syariah itu siapa? Mufti, Jemaah Haji, Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu siapa? Bahasa siapa yang dipersendakan? Status Pribumi dan agama mana yang terhina? soalnya.