Pesuruhjaya Pas negeri, Sal­lehen Mukhyi berkata, arak bukanlah milik mana-mana agama atau kaum dan arak jelas ditentang oleh semua agama.

Sebab itu tegasnya, Pas akan cuba sedaya upaya menghalang pesta arak diadakan di Selangor kerana acara itu jelas tidak menghormati sensitiviti agama lain selain mencabar keharmonian hidup beragama.

“Satu persoalan yang saya nak bangkitkan, arak ini agama siapa atau milik kaum mana? Kalau nak kata hormati agama dan kaum lain, buktikan arak ini milik siapa.

“Kristian, Buddha dan apatah lagi Islam semuanya menolak arak. Kita tidak halang kaum lain untuk minum arak tetapi jangan buat pesta kerana ia mencabar dan tidak menghormati agama lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Azmin hari ini menegaskan Kerajaan PKR Sela­ngor tidak akan menghalang jika pesta arak Better Beer Festival 2017 mahu diadakan di negeri ini kera­na ia sejajar dengan prinsip yang dipegang oleh kerajaan negeri iaitu menghormati hak kaum dan agama lain.

Mohamed Azmin bagaimanapun berkata, penganjur pesta arak itu perlulah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long menyuarakan kekecewaan terhadap Mohamed Azmin kerana didakwa gagal menjaga maruah agama Islam dan menjatuhkan maruah pemimpin Islam.

Katanya, Mohamed Azmin sepatutnya mengutamakan untuk mempertahankan ke­sucian agama Islam yang te­lah termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi di negara ini.

“Selama ini kita tidak pernah halang kaum lain minum arak, malah kilang arak pun ada di Selangor.

“Apakah mereka menghormati Islam dengan mengadakan pesta arak? Mereka sendiri tidak hormati kita dan kenapa kita pulak yang kena hormati mereka, ini tidak adil dan berat sebelah.

“Sebagai sebuah kerajaan yang berprinsipkan Islam, kerajaan negeri tidak boleh terlalu liberal dan letakkan kebebasan sebagai keutamaan kerana pesta arak jelas membawa keburukan,” ujar­nya.