Ini kerana, wakil rakyat DAP itu seolah-olah tidak menjawab isu yang dibangkitkan lima pa­nel program tersebut, sebaliknya cuba mengalihkan perhatian peserta kepada faktor keselamatan pekerjaan di tapak pembinaan.

Bagaimanapun, setelah diasak, Soo Huey berkata, penguatkuasaan perlu mengambil kira jumlah pembangunan dan kawasan projek dibangunkan selain kerja-kerja pemantauan perlu dilakukan di kawasan pembinaan.

Bagaimanapun, jawapan beliau yang disifatkan tidak jelas itu menimbulkan kemarahan peserta sehingga mereka mendesak Soo Huey menjelaskan pendiriannya dalam memastikan bencana alam yang kerap melanda negeri ini dapat diatasi.

Dialog ‘Banjir Pulau Pinang: Masanya untuk Bertindak’ itu dihadiri hampir 200 peserta dengan menampilkan lima panel iaitu wakil Penang Forum, Dr. Kan Suan Pheng dan Datuk Agatha Foo; kontraktor, Aziz Noor serta wakil penduduk Tanjung Bungah, R. Meenakshi dan wakil penduduk Bandar Baru Air Itam, K. Suthakar.

Program itu bertujuan membincangkan punca kejadian banjir kilat di negeri ini yang antaranya kegiatan menebang pokok di lereng bukit tanpa kawalan selain kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan 11 individu terkorban di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah, 21 Oktober lalu.

Sementara itu, Suan Pheng dalam ucapannya mendedahkan, sebanyak 55 blok bangunan di bawah enam projek telah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari 2008 hingga 2015 meskipun dibangunkan di kawasan berisiko.

“Bangunan dimaksudkan adalah di Paya Terubong, Tanjung Bungah, Batu Feringghi, Balik Pulau, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas yang jelas sekali tidak menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk sistem perparitan terlalu kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi mendesak kerajaan nege­ri mendedahkan kajian tanah yang kononnya telah dilaksanakan sebelum meluluskan pelbagai projek pembangunan negeri ini bagi memastikan prosedur pembangunan dipatuhi.

Ini kerana katanya, kajian yang akan mengenal pasti masalah dan keupayaan tanah rancangan untuk pembangunan itu diyakini mampu menangani kejadian tidak diingini seperti tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.

“Mana kajian tanah untuk projek pembangunan? Kerajaan negeri sering melaungkan setiap pembangunan perlu mengikut undang-undang tetapi kenapa mereka melanggarnya,” tegasnya.