Pesanan dan nasihat itu disampaikan beliau yang juga Perdana Menteri dalam satu pertemuan bersama penyandang kerusi Parlimen daripada komponen BN di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyertai pertemuan itu berkata, Najib juga mengi­ngatkan mana-mana penyandang wakil rakyat BN yang dipilih semula sebagai calon agar melipatgandakan usaha sepanjang tempoh berkempen pada PRU-14.

“Apabila terpilih sebagai wakil rakyat kelak, mereka perlu menambah daya usaha untuk membantu rakyat kerana keutamaan adalah rakyat.

“Kepada mereka yang tidak terpilih, Perdana Menteri me­ngucapkan terima kasih dan berharap me­reka terus menyokong dan membantu calon baharu di kawasan yang mereka pernah waki­li,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman.

Sementara itu, mengenai ke­putusan gabungan pembangkang PKR meletakkan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon di Parlimen Langkawi, Kedah, Ahmad Zahid berkata, BN sentiasa berfikiran terbuka dan berlapang dada berdepan dengan sesiapa saja di kerusi tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun yakin pengundi di Langkawi mengetahui tentang keprihatinan Najib yang berusaha menambah baik beberapa kemudahan termasuk memberi peruntukan khas bagi pembekalan elektrik di Pulau Tuba.

“Insya-Allah, jika calon BN diberi mandat semula menjadi wakil rakyat, Langkawi terus dibangunkan. Jika Langkawi pilih orang lain, maka saya amat khuatir Langkawi tidak dapat dibangunkan.

“Tentunya penduduk Langkawi mengetahui bahawa mereka mengenal yang mana mutu dan yang mana manikam. Dalam hal ini, walaupun ‘orang itu’ pernah berjasa kepada penduduk Langkawi, tetapi tinggallah sebagai satu nostalgia dan tinta-tinta sejarah yang ‘orang itu’ sendiri pa­damkan kebaikannya,” katanya.