Tiga kolej universiti swasta yang diberikan RM6 juta atau RM2 juta setiap satu ialah Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang.

Selain itu, Kementerian Kewangan juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Univerisiti Islam Malaysia (UIM) yang berstatus universiti swasta dan tidak bermotifkan keuntungan.

Guan Eng bagaimanapun dalam kenyataannya hari ini ketika menjawab persoalan peruntukan itu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekadar menyalahkan Najib yang didakwanya tidak dapat membezakan status antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UIM.

Najib bagaimanapun berkata, seperti yang ditulisnya beberapa hari lalu, isu utama ialah peruntukan untuk tiga kolej universiti swasta itu yang tiada dalam Belanjawan 2019 untuk Kementerian Pendidikan dan tidak pernah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

"Sampai sekarang, Guan Eng masih tidak menjawab isu sebenar mengapa dan berdasarkan apa beliau beri puluh juta secara terus kepada kolej-kolej swasta tanpa dibentang dan mengapa pemberian ini bukan melalui Kementerian Pendidikan.

"Dia tidak menjawab dan cuma mahu salahkan saya sahaja, seolah-olah rakyat akan lupa tentang isu sebenar jika saya disalahkan. Pelik orang ini," kata Najib menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Tambah Najib, seperti diberitahu oleh kenyataan Kementerian Pendidikan minggu lepas, peruntukan untuk tiga kolej universiti itu bukan daripada bajet mereka tetapi telah diberi terus oleh Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng.

Sebelum ini beberapa pihak turut mendesak Guan Eng menjelaskan mengapa peruntukan tersebut diberikan terutama kepada Kolej Universiti New Era yang didakwa di bawah kelolaan Dong Jiao Zong Higher Learning Center Berhad, yang merupakan suara pendidikan Cina di Malaysia.

Pada masa sama, Najib menjelaskan beliau tidak tahu sama ada peruntukan diberikan kepada UIM atau UIAM kerana tidak dibentangkan Parlimen, dan beliau hanya mampu mendapat maklumat dari portal media sahaja.-UTUSAN ONLINE