Malah beliau turut membayangkan akan wujud perubahan dalam gabungan pembangkang baharu yang turut disertai UMNO bersama parti lain walaupun bukan atas nama Barisan Nasional (BN) lagi.

Abdul Hadi yang ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kali pertama di Kuala Nerus dekat sini hari ini bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci perubahan politik tersebut khususnya dalam gabungan parti pembangkang.

“Saya rasa akan berlaku perubahan politik dan diikuti gagasan parti-parti sama ada kerajaan atau pembangkang. Itu kita lihat bila tiba masa nanti. “PH sendiri sudah berpecah. Satu parti pun berpecah. Pakatan (baharu) ini bukan mesti parti pembangkang sahaja dan mungkin ada parti dalam kerajaan akan jadi pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerjasama rasmi di antara parti pembangkang khususnya dengan UMNO apabila buat pertama kali dalam sejarah pemimpin daripada parti yang pernah memerintah negara ini sejak 60 tahun hadir dalam muktamar tahunan Pas.

“Ini bukan perkara baharu dan bukan kali pertama (kerjasama dengan UMNO, kita kena lihat senario awal sejak 1955... kita bersama-sama (UMNO) menuntut kemerdekaan 1957. Cuma kita berbeza dari segi bagaimana mahu mengisi kemerdekaan. Pada tahun 1969, berlaku tragedi 13 Mei, negara memerlukan perpaduan Pas ikut serta kerajaan campur pada tahun 1973 dan bubar Perikatan pada tahun 1974 dan tubuh BN, Pas terlibat tubuh BN.

“Kalau Perikatan ada hayat, BN pun ada hayat dan akan berlaku satu perubahan yang lain. Akan berlaku. Kita tunggu dan lihat. Saya tidak berani kata BN akan terkubur.

“Kalau komunis yang diharamkan tidak terkubur, BN bukan diharamkan,” katanya yang menegaskan kerjasama itu terarah kepada usaha membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, beliau menyifatkan siri pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan khususnya yang terbaharu di Port Dickson sebagai peluang untuk mengadakan latihan bersama dengan parti-parti pembangkang terutama UMNO untuk meningkatkan kerjasama dengan menggerakkan seluruh jenterannya bagi membantu.

“Pengalaman (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia itu menjadi satu pengalaman yang sangat meningkat, kalau Sungai Kandis kita masuk gear satu, Seri Setia kita sudah gear tiga... dan Port Dickson akan meningkat lagi, saya tak tahu yang nak bertanding itu berani atau tidak,” katanya.