Wakilnya, Salbiah Mohamed sehubungan itu berkata, jika berlakunya sebarang perselisihan me­libatkan mana-mana pihak, usaha mencari jalan penyelesaian perlu dilakukan segera supaya parti tidak menerima kesannya.

Beliau berkata, seperti yang berlaku ketika ini apabila Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak diserang di setiap peringkat, seharusnya semua pemimpin dan ahli sama-sama bermuafakat mempertahankan beliau demi kesatuan dalam parti secara keseluruhan.

“Adinda mahu keluarga kita bahagia. Andai kata ada perkara yang kita tidak sependapat carilah titik mengikat, usah biarkan keluarga kita menjadi porak-peranda akibat perancangan perbuatan ang­kara.

“Ingatlah kembali laungan perpaduan kita pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu yang harus kita terjemahkan dalam bentuk pengukuhan parti,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Pre­siden dalam Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sementara itu, wakil UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz meminta semua ahli UMNO supaya kembali berpegang teguh kepada cogan kata parti terbesar Melayu itu, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat bagi mening­katkan perpaduan dan keutuhan parti.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah menegaskan, UMNO terus kekal utuh sejak 69 tahun lalu dan menjadi tunjang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pemimpin dan ahlinya masih kekal berpegang teguh dengan cogan kata tersebut.

“Apabila ada masalah kita hendaklah terus bersatu, setia kepada parti, setia kepada pemimpin. Kita hendaklah kembali kepada asas (cogan kata) ini, barulah kita akan terus kuat.

“Kita juga harus berkhidmat secara berterusan kepada rakyat, biar rakyat dapat rasa khidmat bakti kita. Seperkara lagi, biarlah khidmat kita itu diberikan kepada rakyat dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Laungan yang sama turut disua­rakan wakil UMNO Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang meminta semua ahli terus memberi sokongan dan membantu Presiden parti bagi memastikan pasti keramat itu terus kukuh dan utuh untuk membela kaum Melayu dan rakyat.

“Jangan ada antara kita yang memberi peluru kepada pembangkang untuk ‘menembak’ parti, ke­rana jika ini berlaku ia adalah satu pengkhianatan kepada parti dan dalam Islam, pengkhianatan dalam perjuangan dimurkai oleh Allah.

“Dalam menyelesaikan masalah rakyat, kita ahli jangan lalai de­ngan masalah dalaman yang boleh memporak-perandakan parti dan untuk itu kita perlu sahut seruan Presiden untuk kembali kepada prinsip ukhuwah,” kata beliau yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran.

Shahaniza turut meminta ahli mengamalkan perpaduan de­ngan mengibaratkan UMNO seperti sebuah rumah yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing iaitu lantai, dinding, tangga, atap dan tiang seri.

Beliau turut yakin rakyat masih lagi menyandarkan harapan kepada UMNO dan untuk itu pucuk pimpinan parti perlu membuat yang terbaik.

“Jangan tunggu sampai rakyat tawar hati dan tiada perasaan serta keyakinan kepada parti,” kata beliau.