Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, nasib orang Melayu ketika ini umpama melukut di tepi gantang kerana mengharapkan pertolongan daripada suara minoriti untuk memperkukuhkan kedudukannya.

Tegas beliau, hanya UMNO dan Pas mampu menjadikan suara Melayu kembali kuat seperti sebelum ini.

“Parti yang memperjuangkan orang Melayu, UMNO paling kuat, sekarang ini sekurang-kurangnya ada kesatuan antara Pas dan UMNO ini adalah sesuatu yang amat baik dan harus digalakkan.

“Di Malaysia 78 peratus adalah bumiputera, 65 peratus daripadanya Islam tetapi kita terpaksa bergantung kepada kumpulan minoriti untuk memerintah negara kerana kita (Melayu) sering bergaduh, berpecah,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan berharap kesemua ahli UMNO merapatkan saf bagi memperkukuhkan parti dan menolak ketepi unsur ego, sombong serta pentingkan diri sendiri yang tidak memberi sebarang manfaat.

Katanya, semua pihak diminta untuk membuka lembaran dan semangat baru supaya roh membela nasib rakyat yang dibawa UMNO kembali mengukuh. - UTUSAN ONLINE