Mohd . Ali Rustam
Mohd . Ali Rustam

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, para pemimpin dan ahli parti dilihat matang dan mereka terus mempertahankan maruah parti, bukannya berselisih faham serta cuba mengeruhkan lagi keada­an.

“Mood para ahli pada waktu ini masih baik. Walaupun ada segelintir ahli yang berbelah bahagi dengan pendirian mereka, jauh di sudut hati, kesetiaan tetap kepada parti.

“Dalam parti, kita dibenarkan berbeza pendapat, tetapi mereka perlu kembali bersatu dan bermuafakat demi kepentingan bangsa dan agama,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Laman Media, Perhimpunan Agung UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Tambah Mohd. Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, para ahli UMNO juga perlu memupuk semangat persahabatan dan persaudaraan seperti disarankan dalam Islam yang meletakkan kedudukan setiap umat Islam itu bersaudara.

“Pembangkang amat gembira dan mahu melihat kita berselisih faham dan bercakaran antara satu sama lain. Mereka akan mencuba satu persatu langkah untuk menjatuhkan parti ini,” ujarnya.

Menurut Mohd. Ali yang menyertai UMNO ketika berusia 18 tahun, beliau melihat UMNO akan terus bertahan dalam jangka masa panjang kerana parti ini berjaya membentuk perpaduan yang kuat dan mempunyai matlamat yang jelas.

Mengenai ucapan dasar Pre­siden parti semalam, katanya, ia amat baik dan difahami semua peringkat kepemimpinan.

Katanya. Perdana Menteri te­lah menjelaskan secara terbuka mengenai isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan isu wang derma berjumlah RM2.6 bilion.

“Saya amat yakin Presiden berada di pihak yang benar. Apa sahaja yang dilakukan Presiden adalah untuk parti dan rakyat,” ujarnya.