Streram saman SPR dakwa gagal tunai tanggungjawab
Streram saman SPR dakwa gagal tunai tanggungjawab

Perkembangan kes tersebut dimaklumkan kepada pemberita oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Streram selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Amino Agos Suyub dan SPR untuk membatalkan saman anak guamnya.

Menurut Mohamed Haniff, keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Darryl Goon Siew Chye di kamar hakim atas alasan, mahkamah berpuas hati bahawa kes tersebut adalah berasingan dengan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban melibatkan petisyen pilihan raya.

“Dalam petisyen pilihan raya, permohonan Streram supaya mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan. Walhal dalam kes di sini Streram menuntut ganti rugi dan jika kami berjaya membuktikan terdapatnya salah laku oleh mana-mana pegawai SPR atau pihak-pihak tertentu, ganti rugi berhak diberikan kepada Streram,” ujar Mohamed Haniff.

Mahkamah menetapkan 2 November ini bagi pengurusan kes saman tersebut.

Pada 7 Mei lalu, Streram selaku pihak plaintif mendakwa, SPR yang dinamakan sebagai defendan kedua tidak memberitahu beliau bahawa tag nama atau pas masuk untuk calon atau wakilnya diperlukan untuk masuk ke dalam dewan pencalonan pada 28 April lalu.

Ekoran kegagalan pihak plaintif melaksanakan tanggungjawab tersebut, Streram mendakwa tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk menyerahkan borang pencalonan bersama dengan pencadang dan penyokongnya.

Plaintif mendakwa, mendapat tahu bahawa calon Barisan Nasional (BN) DUN Rantau N27 telah menang tanpa tanpa bertanding apabila SPR membuat pengumuman di tempat pencalonan pada hari tersebut.

Pihak defendan memohon supaya keseluruhan tuntutan saman pihak plaintif dibatalkan atas alasan mahkamah itu tiada bidang kuasa untuk mendengar isu tersebut kerana melibatkan undang-undang pilihan raya dan hanya boleh didengar oleh hakim pilihan raya yang mendengar Petisyen Pilihan Raya. - UTUSAN ONLINE