Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan memberitahu pemberita, Hakim Datin Azizah Nawawi membuat keputusan itu atas alasan PAN tiada locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan permohonan tersebut.

Mahkamah menolak permohonan tersebut dengan kos RM5,000.

PAN melalui Penolong Setiausahanya, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus sebagai pegawai awam parti tersebut selaku pihak pemohon memfailkan permohonan kebenaran itu pada 1 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Md. Raus sebagai pihak responden.

​Dalam permohonan tersebut, pihak pemohon memohon kebenaran untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa pelantikan responden sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos lalu dan sebagai Ketua Hakim Negara di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai sebarang kesan. - UTUSAN ONLINE